ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah apabila merekodkan 109 perlawanan liga tanpa kalah, sekali gus memecahkan rekod dunia dalam aksi Piala Sumbangsih 2026/27 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Kejayaan bersejarah itu dilengkapkan dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Kuching City FC, sekali gus menyaksikan Harimau Selatan menjulang Piala Sumbangsih buat kali ke-11.
JDT membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Marcos Guilherme untuk memberikan kelebihan kepada tuan rumah sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Óscar Arribas menggandakan kedudukan pada minit ke-55 sebelum Shahab Zahedi melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi jaringan pada minit ke-86.
Namun, tumpuan utama malam ini turut terarah kepada rekod luar biasa JDT yang kini mencatat 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah, sekali gus mencipta rekod dunia baharu.
Kejayaan itu menjadi satu lagi pencapaian bersejarah buat Harimau Selatan yang terus mendominasi bola sepak tempatan, selain memulakan kempen musim 2026/27 dengan sebuah lagi trofi di Stadium Sultan Ibrahim. – MYNEWSHUB


