MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan beliau akan membongkar tentang amalan menyakau dalam FELDA pula selepas ini.
“Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada saya jangan berakhir dengan Tabung Haji sahaja.. teruskan.
“Tuanku Yang di-Pertuan Agong tanya saya siapa jaga FELDA sekadang.. saya kata saya. Baik.. maka selesai Tabung Haji, bongkar FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Ucapan beliau itu menerima sorakan dan tepukan gemuruh ahli PKR yang menghadiri kongres tersebut.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau telah meminta badan penguatkuasaan tidak berlengah dan bertolak ansur dalam mengambil tindakan.
“Saya hanya boleh menyatakan jangan berlengah, jangan bertolak ansur, jangan kira parti mana, jawatan mana, kaum mana,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menafikan tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam isu Tabung Haji dan FELDA adalah kerana dendam beliau.
Kata beliau, jika tiada tindakan dilakukan dianggap berkompromi dan lembab, apabila mengambil tindakan dikatakan dendam.
“Ada orang konon kalangan elit yang pintar menyatakan jangan.. nampak Perdana Menteri sekarang terdesak dan nampak sekarang seolah-olah berdendam kerana ambil tindakan.
“Tindakan 1MDB lama sebelum saya, tetapi tindakan diambil. Beberapa kes besar berprofil tinggi lain juga diteruskan.
“Kamu bicaralah apa pun saya nak jawab di sini dalam kongres keadilan di Melaka ini menyatakan bahawa proses tindakan lebih tegas bermula sekarang.
“Arahan tindakan tangkap urusan polis, penjara urusan hakim. Bagaimana harus kita menyelamatkan negara ini, hentikan amalan menyakau ini,” katanya. – MYNEWSHUB


