KUALA LUMPUR – Sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) di platform media sosial dipercayai meningkat selepas sidang khas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji diadakan di Dewan Rakyat semalam.
Perkembangan itu berdasarkan respons tinggi terhadap banyak hantaran yang dibuat oleh pemimpin PH berhubung sidang khas berkenaan dengan ribuan pengguna media sosial memberikan tanda suka.
Komen-komen negatif terhadap kerajaan terdahulu, manakala komen-komen positif terhadap kerajaan semasa menyelamatkan Tabung Haji didapati membanjiri kebanyakan laman media sosial.
Sidang khas tersebut juga dilihat berjaya menghakis defisit kepercayaan orang Melayu terhadap DAP, susulan banyak pandangan yang dilontarkan sehingga menyifatkan parti itu sebagai antara pihak yang tampil memperjuangkan isu Tabung Haji.
Tabung Haji sendiri mengambil peranan proaktif melancarkan inisiatif pengedaran risalah khas dengan tajuk ‘Tabung Haji: Apa Sudah Jadi?’ di masjid dan surau.
Selain itu laman media sosial rasmi institusi berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pejabat mufti turut menguar-uarkan mengenai kerajaan semasa menyelamatkan Tabung Haji.
Perkembangan tersebut dijangka secara tidak langsung memberi kelebihan kepada PH dan DAP dalam usaha memperbaiki sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – MYNEWSHUB


