SIMPANG RENGGAM – UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal dan tidak menjadikan kemenangan sebagai alasan untuk mendabik dada, sebaliknya terus mengutamakan kepentingan rakyat.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu sentiasa mengingati sebab UMNO ditubuhkan serta untuk siapa perjuangan itu dilakukan.
Menurut beliau, perjuangan UMNO adalah demi mempertahankan agama, membela bangsa, menjaga tanah air serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
“Dalam ucapan saya, saya mengingatkan seluruh kepimpinan, para perwakilan dan paling utama, diri saya sendiri bahawa UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal.
“Kita perlu sentiasa mengingati mengapa parti ini ditubuhkan dan untuk siapa kita berjuang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam bersama seluruh kepimpinan, para perwakilan dan keluarga besar UMNO di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.
Onn Hafiz berkata, kemenangan yang diberikan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor bukanlah noktah kepada perjuangan, apatah lagi lesen untuk mereka berasa megah.
“Semakin besar kepercayaan yang diberikan, semakin besar amanah dan tanggungjawab yang perlu kita pikul.
“Jangan sesekali kita lupa bahawa jawatan hanyalah pinjaman dan kuasa adalah amanah yang mesti dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh keluarga besar UMNO Bahagian Simpang Renggam dan UMNO Johor atas komitmen serta semangat juang yang ditunjukkan.
Katanya, perkara itu membuktikan bahawa UMNO masih hidup, masih bernyawa dan masih mempunyai masa depan.
“Kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesediaan setiap ahlinya untuk terus bekerja, berkhidmat dan berbakti kepada rakyat,” katanya.
Onn Hafiz turut berharap agar Allah SWT memelihara perjuangan berkenaan, menyatukan hati seluruh ahli dan membimbing setiap langkah agar sentiasa berada di landasan yang benar.
“Selagi perjuangan ini berpaksikan keikhlasan dan kepentingan rakyat, kita akan terus teguh membawa amanah demi agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah
“Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor. Kepada Allah Kita Berserah” katanya. – MYNEWSHUB


