KUALA LUMPUR – Lima Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini secara terbuka mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan mempolitikkan peruntukan rakyat bagi kawasan Parlimen.
Mereka ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam; dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka mengingatkan Perdana Menteri bahawa ‘Malaysia bukan milik Anwar Ibrahim’, manakala peruntukan awam bukan wang poket parti mahupun Perdana Menteri.
“Ahli Parlimen Ampang merupakan wakil rakyat kerajaan ketiga dinafikan hak untuk menguruskan peruntukan kawasan Parlimennya.
“Sekali lagi, penyalahgunaan kuasa yang serius ini mendedahkan bagaimana Kerajaan Madani semakin mengaburkan sempadan antara parti dengan kerajaan, serta antara demokrasi dengan autokrasi.
“Lebih serius lagi apabila akses MyKHAS wakil rakyat yang dipilih disekat, tetapi pengurusan peruntukan kawasan diserahkan kepada individu atau ‘proxy’ yang disenangi oleh Anwar.
“Sejak bila seorang ‘proxy’ yang tidak dipilih rakyat mempunyai mandat yang lebih besar daripada seorang Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya?
“Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri tentang satu perkara yang sangat asas: Malaysia bukan milik Anwar Ibrahim. Kerajaan bukan rumah beliau. Peruntukan awam bukan wang poket parti mahupun Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Menurut mereka, dalam sebuah keluarga, seorang ketua keluarga mungkin boleh memarahi anak yang tidak disukainya, namun sebuah negara demokrasi tidak boleh ditadbir mengikut konsep “siapa saya suka, saya beri; siapa saya tidak suka, saya sekat”.
Katanya, rakyat memilih Ahli Parlimen melalui peti undi dan mandat tersebut wajib dihormati.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa peruntukan kawasan bukan hadiah daripada Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen.
“Kalau Anwar tidak menyukai seseorang Ahli Parlimen, itu hak beliau. Namun, beliau tidak berhak menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada ketidaksukaan politik tersebut.
“Lebih membimbangkan apabila wakil rakyat yang dipilih diketepikan, manakala wang rakyat pula diserahkan untuk diuruskan oleh ‘proxy’ politik mengikut citarasa beliau,” katanya.
Mereka turut menegaskan bahawa sebarang kesalahan oleh Ahli Parlimen perlu ditangani mengikut saluran sewajarnya dan tidak menggunakan peruntukan rakyat sebagai “senjata politik”
Sehubungan itu, mereka menuntut Perdana Menteri menjawab secara terbuka tiga perkara, termasuk apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau dasar yang digunakan untuk menyekat akses MyKHAS kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan.
Mereka turut mempersoalkan asas pelantikan Penyelaras Parlimen Ampang iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan di kawasan berkenaan masih menjalankan tugas dan berfungsi.
“Anwar Ibrahim sendiri telah menghabiskan puluhan tahun memperjuangkan reformasi, keadilan, ketelusan dan menentang penyalahgunaan kuasa.
“Hari ini, prinsip-prinsip yang sama mesti terpakai kepada kerajaan yang beliau pimpin. Reformasi tidak bermaksud mempolitikkan peruntukan rakyat dan menggantikan wakil yang dipilih rakyat dengan ‘proxy’ pilihan sendiri.
“Demokrasi juga bukan sekadar meminta rakyat keluar mengundi setiap lima tahun, kemudian mengetepikan pilihan mereka apabila wakil yang dipilih tidak lagi disenangi oleh pemerintah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Lee Chean Chung



