JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas ‘orang-orang politik’ yang mendakwa konon seruan beliau kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya segera mengisi kekurangan kakitangan di Hospital Pasir Gudang (HPG) sebagai ‘wayang’
Menurut beliau, pihak yang cuba mempolitikkan isu kesihatan di Johor dengan mendakwa kerajaan Johor hanya tahu ‘menyeru’ KKM dan segala usaha yang dilakukan itu sekadar ‘wayang’ adalah satu fitnah yang perlu diperbetulkan.
“Kerajaan Johor tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan Bangsa Johor apatah lagi mempolitikkan isu ini. Kekurangan doktor dan jururawat di Johor kini berada pada tahap kritikal dan saya menuntut apa yang dijanjikan oleh KKM sebelum ini.
“Kerajaan Johor bukan sekadar ‘wayang’ bila melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan Bangsa Johor. Seperti yang saya katakan, kami hanya menuntut apa yang dijanjikan. Sebab itu kita bersuara dan menyeru pihak yang mempunyai kuasa supaya melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Onn Hafiz seterusnya menjelaskan, kerajaan Johor terpaksa menyeru dan menuntut janji yang telah dibuat oleh KKM melalui media dan media sosial memandangkan isu tersebut telah lama dibangkitkan secara baik sejak tahun 2023.
Menurut beliau, KKM pernah menghadap Pemangku Sultan Johor dan bersetuju mengisi segera kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai selain menambah tenaga kerja di HPG.
“Malangnya masalah perjawatan yang membelenggu sektor kesihatan di Johor masih belum diselesaikan. Sebab itu saya terpaksa terus menyeru untuk menuntut agar janji yang telah dibuat oleh pihak KKM dikotakan.
“Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak JPA telah turut memberikan mandat kepada KKM untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan mengikut keperluan fasiliti kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor dengan bantuan yang termampu turut berusaha membantu untuk membantu mengurangkan beban KKM secara keseluruhan.
Antara usaha dilaksanakan membiayai penempatan doktor locum di hospital-hospital utama termasuk HSA dan HSI bagi membantu Jabatan Kecemasan mengurangkan tempoh menunggu serta beban petugas sedia ada.
Menubuhkan ‘Southern Volunteers Healthcare’ dan meningkatkan kebajikan petugas kesihatan dengan menaik taraf lebih 460 bilik pantri di fasiliti kesihatan seluruh Johor.
Menyediakan penghantaran ubat secara pos, selain memperluaskan kemudahan seperti Locker4U untuk mengurangkan keperluan pesakit hadir semata-mata bagi mendapatkan ubat susulan.
Selain itu, kerajaan Johor menyediakan ambulans tambahan selain bantuan aset serta peralatan perubatan kepada hospital dan fasiliti kesihatan.
“Melaksanakan Klinik Decanting, pemindahan perkhidmatan tertentu ke lokasi alternatif bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan sedia ada dan memberikan keselesaan kepada petugas dan rakyat.
“Menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta termasuk KPJ Healthcare bagi membantu dari sudut kepakaran dan tenaga kerja,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


