KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa Pakatan Harapan (PH) kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disebabkan oleh politik identiti.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak dalam PH terutama DAP yang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh juga mengamalkan politik perkauman.
“Contohnya terutamanya DAP ialah bila mereka tak setuju dengan tindakan Akmal, tak setuju dengan tindakan satu dua pihak mengamalkan politik perkauman, tetapi akhirnya mereka bertukar menjadi perkauman juga.
“Sepatutnya (PH) lepas kalah teruk di Johor, di Negeri Sembilan adalah perubahan. Saya tak tahulah. Macam saya cakap, mereka ini dah terlalu bosan jadi kerajaan. Tak sabar jadi pembangkang balik dan dah bosan jadi menteri agaknya. Tak sabar nak jadi kluster mahkamah.
“Negeri Sembilan sudah memilih dan PH kehilangan negeri yang ditadbir lapan tahun. Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama mendapat 25 daripada 36 kerusi. Anthony Loke kalah di Chennah. Aminuddin pula kalah di Linggi. Ini bukan gegaran politik. Ini dah jadi gempa bumi.
“Jadi selepas gempa bumi, jangan kita sibuk cari siapa yang mengoncang. Tengok dulu kenapa rumah sendiri runtuh. Inilah yang PH kena belajar,” katanya menerusi satu rakaman video wawancara di muat naik di media sosial.
Lokman berkata, beliau seperti juga Mohamad berharap politik perkauman tidak bertahan lama, tetapi pada beliau politik perkauman di Malaysia sudah terlalu ‘berat’ dan berkemungkinan besar bertahan lama.
Beliau malah mengakui UMNO membuat keputusan yang sangat tepat bekerjasama dengan PN kerana PN menguasai golongan yang terpedaya dengan politik perkauman.
“Ini realiti kita kena terima hakikat. Kalau kita jalan lurus saja… memang betul Malaysia ini perlu sebuah negara yang berbilang kaum, tak ada mengamalkan perkauman dan sebagainya.
“Tapi mentaliti sebahagian daripada rakyat Malaysia ini masih lagi mudah diracuni dengan politik perkauman,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan PH belajar daripada kekalahan kerana baginya kekalahan bukan masalah yang paling besar, namun enggan memahami punca kekalahan adalah masalah sebenar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Lokman Noor Adam Official


