JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Program Semarak Maghrib dan Isyak akan dilaksanakan di seluruh pelusuk negeri sebagai usaha kerajaan negeri untuk terus mengimarahkan masjid serta menyemarakkan budaya solat berjemaah dalam kalangan umat Islam.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan antara manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dan akan diterjemahkan menerusi pelaksanaan komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat.
Katanya, program berkenaan buat julung kali diadakan di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana.
“Jika sebelum ini kita berusaha menyemarakkan Solat Subuh berjemaah di seluruh negeri, ikhtiar ini diteruskan dengan menyemarakkan Solat Maghrib dan Isyak agar masjid sentiasa hidup dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan pengisian rohani,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, program itu turut diserikan dengan Perkongsian Hadis 40 bertajuk Niat Penentu Perbuatan Hamba yang disampaikan oleh As-Syeikh Tuan Haji Mohd Zaini Mohd Salleh, Kadi Daerah Johor Bahru, selain bacaan Surah Al-Mulk bersama para jemaah.
Onn Hafiz turut mengajak seluruh umat Islam khususnya di Johor untuk bersama-sama menjayakan Program Semarak Maghrib dan Isyak serta terus memakmurkan rumah Allah SWT.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan usaha Kerajaan Negeri bagi meningkatkan syiar Islam dalam membina Johor yang maju berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Beliau turut mendoakan agar setiap langkah menuju ke masjid, setiap saf yang dipenuhi dan setiap doa yang dipanjatkan membawa rahmat, keberkatan serta kesejahteraan buat negeri Johor. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


