KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Mohd. Prasad Hanif memberi pandangan mengapa Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Menurut beliau, sepanjang kempen pelbagai angka seperti rizab negeri yang mencecah berbilion ringgit, pelaburan yang diluluskan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta pemulihan nilai ringgit dijadikan bahan kempen oleh PH.
Namun, katanya, dalam pilihan raya, pengundi lebih cenderung menilai manfaat yang mereka terima secara langsung.
“Rizab negeri yang besar bermakna apa? Ia bermakna kerajaan negeri tidak membelanjakan wang itu untuk kemudahan rakyat. Tiada ‘economic spillover’. Wang duduk dalam akaun, tidak bergerak dalam ekonomi tempatan, tidak mencipta pekerjaan, tidak menaikkan pendapatan sesiapa.
“Ia kelihatan hebat dalam laporan kewangan. Ia tidak bermakna apa-apa kepada penjaja di Seremban yang jualannya menurun. Jadi, rizab negeri yang besar tidak menjawab, “apa aku dapat?”,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaburan yang diluluskan tidak semestinya diterjemahkan kepada pelaburan sebenar kerana masih terdapat jurang antara kelulusan dan pelaksanaan.
“Pelaburan diluluskan? Perkataan “diluluskan” itu penting. Ia bermakna kertas telah ditandatangani. Ia tidak bermakna wang telah masuk, kilang telah dibina atau seorang pun telah diambil bekerja.
“Jurang antara pelaburan diluluskan dan pelaburan direalisasikan boleh mengambil masa bertahun-tahun dan sebahagiannya tidak pernah direalisasikan langsung. Jadi “approved FDI” tidak menjawab, “apa aku dapat,” katanya.
Kata beliau, pertumbuhan KDNK juga tidak membawa makna kepada rakyat sekiranya gaji tidak meningkat dan kos sara hidup terus bertambah.
Manakala, katanya, pengukuhan nilai ringgit pula hanya memberi kesan langsung kepada sebahagian kecil rakyat yang terlibat dengan urusan import, eksport atau perjalanan ke luar negara.
“Pertumbuhan KDNK lima peratus bermakna apa kepada orang biasa? Kalau gaji anda tidak naik, kalau harga barang naik lebih laju daripada pendapatan anda, angka lima peratus itu adalah abstraksi yang tidak dapat dimakan. Again, “apa aku dapat?”,” katanya.
Mohd. Prasad berkata, realitinya mungkin hanya sekitar 15 hingga 20 peratus rakyat benar-benar memahami atau merasai kesan langsung statistik ekonomi makro, manakala sebahagian besar lagi hidup dalam ekonomi yang berbeza. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohd. Prasad Hanif



