KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa beliau menjadi sasaran serangan peribadi dan pelbagai fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dakwa beliau, pelbagai tuduhan tidak benar dilemparkan terhadapnya sehingga ada pengundi yang mempercayai fitnah tersebut.
“Dalam kempen kali ini, banyak serangan peribadi terhadap saya. Banyak fitnah yang dilemparkan. Malangnya, saya menjadi mangsa fitnah kepada semua ini.
“Tetapi ini adalah asam duka dalam politik, dalam dunia politik. Memang, kita difitnah, diserang, berbagai,” dakwanya pada satu sidang media.
Anthony Loke mendakwa terdapat penduduk kampung bertanya kepadanya mengenai dakwaan beliau bercita-cita menjadi Menteri Besar dan Tok Undang.
“Jadi, ada yang termakan dengan hasutan dan juga tomahan seperti berikut. Ini sesuatu yang amat tidak sihat. Jadi, semua ini terbukti bahawa ini adalah semua adalah tipu helah dalam kempen pilihan raya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anthony Loke turut mengumumkan beliau melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun.
“Saya juga telah pun menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan. Saya telah pun memangku selama 22 tahun.
“Sejak tahun 2004 hingga sekarang, selama 22 tahun bersama-sama, dan saya rasa sekarang tiba masanya untuk saya berundur,” katanya. – MYNEWSHUB


