KUALA LUMPUR – Tiga laporan yang diterbitkan Mynewshub dikenakan sekatan oleh pengendali aplikasi TikTok selepas platform itu menerima permohonan daripada pihak berkuasa.
Notis yang dipaparkan memaklumkan tindakan tersebut diambil sebagai respons terhadap permintaan undang-undang dengan menyatakan: “We have taken this decision in response to a legal request”
Laporan pertama yang dikenakan sekatan adalah berkaitan kenyataan Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim mengenai nama Tanah Melayu.
Sementara itu, laporan kedua membabitkan kenyataan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berhubung asal usul bangsa.
Laporan ketiga berkenaan seruan Muralitharan Ramachandran kepada masyarakat India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketiga-tiga laporan berkenaan tidak mengandungi ulasan Mynewshub sendiri, sebaliknya memetik kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial tokoh politik terbabit. – MYNEWSHUB


