MENTERI Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bakal berhadapan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 setelah membuat kenyataan berbaur amaran terhadap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa hari lalu.
Pengesahan tersebut dibuat sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar setelah pihaknya menerima laporan.
Menerusi informasi dari portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Padang Rengas itu bakal dipanggil untuk memberi kenyataan dalam masa terdekat.
“Ya, kami akan menyiasat di bawah Akta Hasutan,” ujar Khalid kepada portal berkenaan.
BACA: TMJ Usah Campuri Isu Politik: Amaran Tegas Nazri Aziz
Hujung minggu lalu, ‘peperangan’ menerusi saluran media antara Nazri dan TMJ mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia.
Sebahagian besar pengguna Internet mengecam keceluparan Nazri kerana memberi amaran kepada TMJ agar tidak mencampuri urusan politik negara atau bakal ‘dibelasah’.
Amaran Nazri Aziz Dibalas TMJ Dengan Ngauman Harimau?
Beberapa jam selepas Nazri mengeluarkan kenyataan tersebut Sabtu lalu, TMJ membalasnya dengan satu video berdurasi 0:17 saat yang memaparkan dirinya seolah-olah memberi isyarat ‘Marilah’.
Sebelum itu, TMJ telah memuat naik satu status di laman Facebook Johor Southern Tigers mengkritik ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tulis Tunku Ismail, “Macam mana boleh adakan dialog dipanggil Nothing2Hide yang menampilkan seorang yang banyak perlu disembunyikan? Memanglah dia tak akan muncul.”
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Klip Video TMJ Memberi Isyarat ‘Marilah’
https://youtu.be/5uXwwsh6qQs



