SEREMBAN – “Orang Melayu bersatu baguslah. Itu yang DAP takut. MCA tak takut orang Melayu bersatu kerana kita nak negara ini kembali aman makmur seperti dulu”
Demikian jawapan Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong apabila ditanya mengenai usaha penyatuan Melayu dalam satu podcast.
Menurutnya, beliau menyokong penyatuan Melayu kerana ia akan memperkuatkan Barisan Nasional (BN) dan mampu menarik sokongan bukan Melayu juga.
“Apabila orang Melayu nak bersatu, saya sering katakan orang Melayu nak bersatu, saya sendiri pun sokong. Kenapa kita nak sokong perpecahan? Pastinya saya sokong penyatuan.
“Apabila orang Melayu bersatu, dia nampak bahawa kita (BN) kuat. Apabila Melayu bersatu, nanti orang Cina akan sokong. Orang India akan sokong BN,” katanya.
Dalam pada itu, Choo Seong menyelar DAP bersikap hipokrit dalam soal penyatuan kerana parti itu sendiri sering menyeru masyarakat Tionghoa supaya bersatu dan menyokong Pakatan Harapan (PH)
“Sama juga. Kalau kita lihat ceramah-ceramah DAP apabila mereka berhadapan dengan masyarakat Tionghoa, mereka akan berkata orang Cina kena bersatu, sokong PH, sokong DAP.
“Dia boleh suruh orang bersatu, tetapi apabila dia nampak orang Melayu nak bersatu, dia mulalah nak tukar naratif kononnya orang Melayu kalau bersatu, bahaya akan ada ‘green wave’ dan sebagainya,” katanya.
Choo Seong berkata, beliau namun cukup ‘masak’ dengan sejarah parti politik DAP yang bermain dengan sentimen walaupun mereka dalam kerajaan sekarang,
Bagaimanapun, beliau menerangkan, ramai masyarakat Cina yang sebelum ini menyokong DAP kini berasa kecewa dengan DAP.
“Saya pergi menyantuni masyarakat Cina, saya tanya, okay tak ekonomi, bisnes? Semua geleng kepala. Jadi, hari ni kalau DAP masih bermain dengan naratif sentimen perkauman, kebencian, silakan saya mengalu-alukan.
“Kerana hakikatnya, masyarakat Cina khususnya di luar sana sedang sengsara. Pelbagai dasar dibuat oleh kerajaan khususnya dibawah PH ini memberi kesan buruk kepada mereka, SST lah, E-Invoice lah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial MCA


