KUALA LUMPUR – Rakaman video kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 1 Ogos lalu mengenai hasrat meneruskan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kembali tular di media sosial.
Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid ketika sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan selepas keputusan PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan persefahaman BN-PN mencatat kemenangan besar.
Dalam rakaman berkenaan, Ahmad Zahid menyifatkan kemenangan BN dan PN di Negeri Sembilan sebagai pemangkin kepada ‘gelombang biru pekat’ yang akan diteruskan ke Melaka.
Menurut beliau, mandat yang diterima di Negeri Sembilan merupakan kesinambungan kemenangan BN di Johor dan diyakini mampu memperkukuh sokongan rakyat menjelang pilihan raya negeri seterusnya.
“Mandat dan keputusan ini akan terus membawa satu gelombang bagi kami meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang telah bermula di Negeri Johor.
“Insya-Allah ia akan menular ke Negeri Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucapan selepas keputusan tidak rasmi PRN Negeri Sembilan diumumkan pada 1 Ogos lalu.
Rakaman video berkenaan kini kembali mendapat perhatian ketika tumpuan politik beralih kepada PRN Melaka, khususnya mengenai bentuk kerjasama yang bakal dibentuk BN untuk menghadapi pilihan raya tersebut.
Ia turut menjadi perhatian susulan desas-desus yang semakin kuat mengenai kemungkinan BN menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada persefahaman BN-PN seperti dinyatakan Ahmad Zahid sebelum ini akan diteruskan.
Setakat ini, keputusan rasmi mengenai bentuk kerjasama atau pembahagian kerusi BN bagi menghadapi PRN Melaka masih menjadi perhatian, dengan perkembangan politik semasa dijangka menentukan sama ada formula kerjasama di Negeri Sembilan akan dibawa ke negeri berkenaan. – MYNEWSHUB


