Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan terhadap dua individu berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah serta mengaitkannya dengan isu Tabung Haji.
Menerusi hantaran di media sosial, Asyraf berkata surat tuntutan itu dikeluarkan kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh serta pemilik akaun dikenali sebagai Abied Abdullah atau nama sebenar Habin Faisal Mohamed.
Menurutnya, kedua-dua individu berkenaan didakwa telah mengaibkan, menjatuhkan reputasi dan cuba mengaitkan dirinya dengan isu Tabung Haji.
“Saya telah arahkan peguam saya, Datuk Adnan Seman mengeluarkan surat tuntutan ke atas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Amanah, Datuk Dr Ismail Salleh dan pemilik akaun Abied Abdullah yang memfitnah, mengaibkan serta menjatuhkan reputasi saya,” katanya.
Asyraf berkata surat tuntutan itu antara lain menuntut permohonan maaf, penarikan balik kenyataan serta aku janji supaya dakwaan berkenaan tidak diulangi.
Beliau turut menuntut ganti rugi berjumlah RM5 juta dan memberi amaran tindakan saman akan difailkan sekiranya tuntutan berkenaan gagal dipenuhi.
Dalam pada itu, Asyraf berjanji akan menyalurkan keseluruhan wang yang diperoleh kepada Yayasan Pelajaran MARA sekiranya beliau memenangi saman fitnah tersebut.
Katanya, jika menang, sumbangan itu akan digunakan untuk membantu pelajar daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan meneruskan pengajian.
Setakat ini, belum ada kenyataan balas daripada kedua-dua individu yang dinamakan berhubung surat tuntutan dan dakwaan tersebut.- MYNEWSHUB


