SEREMBAN – Satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial memaparkan sesi temu bual seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan penduduk tempatan mengundang rasa geli hati dalam kalangan netizen.
Dalam video itu, individu berkenaan mendakwa mahu bertanya kepada penduduk mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa BN kalah pada Pilihan Raya Umum 2018 kerana fitnah.
Beliau kemudian dilihat menghampiri sebuah kereta, mengetuk tingkap, malah cuba membuka pintu kenderaan tersebut sambil meminta pemandunya keluar untuk ditemu bual.
Antara soalan yang diajukan sama ada individu itu mengenali Mohamad Hasan dan sama ada dia menganggap kenyataan Tok Mat “kelakar”, serta pandangannya mengenai dakwaan BN tewas pada 2018 akibat fitnah.
Soalan: Awak tahu tak Tok Mat hasan?
Jawapan: Tahu-tahu
Soalan: Dia kata dia ada rakan boleh dipercayai PAS. You rasa kelakar tak?
Jawapan: Kelakarlah
Soalan: Dia kata BN kalah pada 2018 kerana fitnah?
Jawapan: Betullah fitnah sebab itulah Najib masuk dalam (penjara)
Bagaimanapun, video berkenaan mengundang pelbagai reaksi sinis daripada netizen yang mendakwa situasi tersebut kelihatan seperti sudah dirancang.
Seorang pengguna Facebook, Faris Zahari, menulis: “Try hard sangat tu, jangan over sangat nampak macam lakonan. Risau lagi teruk dari Johor”
Dor Yin pula menyindir: “Alahai, tanya soalan pun macam ada skrip yang ditulis. Betul-betul syok sendiri soal selidik ini”
Bagi Pa Farm, beliau mendakwa situasi itu kelihatan tidak semula jadi kerana pintu kereta didakwa tidak ditutup rapat sebelum individu tersebut cuba membukanya.
Mohd Mustapha Mat turut mengusik dengan berkata, tindakan itu jelas mengundang gelak tawa kerana pintu kereta sudah sedia terbuka.
Sementara itu, Syed Nazrul mengkritik cara individu berkenaan mengetuk tingkap dan cuba membuka pintu kereta orang lain.
“Cara ketuk pintu pun nampak kurang ajar. Boleh pula ketuk tingkap terus nak buka pintu orang. Jarang orang temu bual sampai suruh orang keluar dari kereta,” katanya. – MYNEWSHUB


