KAJANG – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan semasa mewarisi hutang yang sangat tinggi.
Menurut beliau, atas sebab itu beliau memahami mengapa Ketua Setiausaha Negara (KSN) tidak yakin dengan cadangan menaikkan gaji penjawat awam sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak sanggup melihat gaji penjawat awam tidak dinaikkan, maka bersetuju gaji dinaikkan malah dengan kadar yang lebih tinggi.
“Tanya KPPE, KSN. Mereka pun tidak yakin cadangan untuk naikkan gaji itu. Saya boleh terima sebab mereka tahu tentang kekangan kita.
“Kedudukan kewangan negara dan hutang-hutang yang dilonggokkan ke atas kita begitu banyak. Jadi kita terpaksa mewarisinya.
“Tetapi bila dia cadang, saya kata saya tak sanggup kemukakan yang ini dia ingat kita tolak. Saya tak sanggup kerana cadangan mereka itu bagi saya tak cukup tinggi.
“Maka akhirnya saya tekankan yang lebih tinggi. Bukan nak ungkit, tapi ini kenyataan,” katanya pada Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri Dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di sini hari ini. – MYNEWSHUB


