OLEH MYNEWSHUB
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh mengenang perjalanan hampir 28 tahun gerakan Reformasi bersama kumpulan veteran yang disifatkannya kekal setia sejak awal perjuangan tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pertemuan bersama sahabat-sahabat daripada Veteran Reformis memberi ruang untuk mereka berkongsi pelbagai cerita lama serta mengimbau kenangan sepanjang melalui jatuh bangun gerakan berkenaan.
Menurut Fuziah, golongan veteran itu bukan sekadar rakan seperjuangan, malah merupakan individu yang terus bersama ketika ramai pihak memilih untuk berdiam diri.
“Perjalanan 28 tahun Reformasi tidak mungkin sampai ke tahap hari ini tanpa pengorbanan masa, tenaga dan kesetiaan mereka,” katanya.
Beliau turut menghargai hubungan persahabatan yang masih utuh walaupun masa terus berlalu dan negara telah melalui beberapa siri pilihan raya.
Katanya, hubungan yang terjalin sejak dahulu kekal erat dan menjadi antara perkara paling bernilai sepanjang perjalanan politik mereka.
Fuziah berharap silaturahim antara anggota Veteran Reformis akan terus dipelihara, selain merakamkan penghargaan atas jasa, persahabatan dan semangat yang tidak pernah pudar.
“Semoga kita terus diberi kekuatan untuk berbakti kepada rakyat,” katanya.-MYNEWSHUB


