SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebak ketika mengenang kembali perjalanan panjang perjuangan Reformasi bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta sahabat-sahabat lama yang bersama mereka sejak awal gerakan itu.
Pertemuan bersama perintis dan ‘otai’ Reformasi pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, semalam mengundang suasana penuh emosi apabila Anwar mengimbau liku, penderitaan dan pengorbanan yang dilalui bersama.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menitis air mata ketika mengenangkan perjalanan itu berkata, beliau dan Wan Azizah tidak mungkin melupakan jasa mereka yang terus bersama dalam perjuangan berkenaan.
“Mana mungkin saya dan Azizah melupakan jasa dan pengorbanan setiap daripada mereka kerana tanpa kekuatan, keberanian dan semangat juang kalian, tidak mungkin saya berdiri di sini hari ini memikul amanah sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Majlis berkenaan turut menyaksikan Anwar melancarkan buku Sejarah Ringkas Reformasi – Sejarah Yang Kita Tulis hasil nukilan Animah Ferrar.
Menurut Anwar, perjuangan membawa perubahan masih belum selesai dan beliau menyeru penyokong Reformasi supaya kembali menggilap semangat perjuangan serta tidak membiarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat mereka.
Beliau turut meminta kekuatan dihimpunkan semula dan semangat perjuangan itu diwariskan kepada anak-anak, keluarga, sahabat serta generasi seterusnya.
Katanya, perjuangan untuk membawa perubahan memerlukan keberanian, kesabaran dan daya juang yang berterusan meskipun usia semakin meningkat dan langkah semakin perlahan.
Anwar mengingatkan bahawa mereka pernah melalui kejatuhan, kekalahan dan penderitaan, namun pengalaman sama turut mengajar mereka bagaimana untuk bangkit semula.
“Usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan, tetapi semangat jangan sesekali pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita, namun kita juga tahu bagaimana untuk bangkit semula. Lawan tetap lawan!” katanya. – MYNEWSHUB


