KUALA LUMPUR – Hantaran Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong “kalau tak mampu menjadi garam, jangan pula menjadi langau” di media sosial meraih perhatian netizen.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) dalam hantaran sama memberi peringatan, jika tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya titipkan doa buat rakan yang sedang berjuang.
“Di medan perjuangan, tiada ruang untuk kita saling bercakaran kerana musuh sedang menanti di hadapan. Yang paling penting, jangan sesekali terperangkap dengan permainan dan perangkap lawan,” katanya.
Beliau tidak menjelaskan hantaran itu dituju kepada siapa, tetapi rata-rata netizen percaya ia susulan kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung membantah kerjasama BN dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Semalam, Penasihat MCA Terengganu, Chew Sir Boon turut meminta Yee Fung tidak mengambil pendirian terburu-buru berhubung kerjasama BN dan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dengan menyifatkan situasi di negeri itu adalah berbeza.
“Saat ini, yang diperlukan bukanlah celaan atau sindiran, tetapi semangat, sokongan dan doa agar setiap perjuangan dipermudahkan.
“Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Semoga kita semua sentiasa menjadi insan yang membawa manfaat, bukan mudarat.
“Walaupun jasad tidak dapat bersama, namun hati, semangat dan doa saya akan sentiasa mengiringi setiap langkah rakan-rakan seperjuangan,” kata Choo Seong lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Neow Choo Seong


