KUALA PILAH – Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan jentera Pakatan Harapan (PH) termasuk daripada DAP tidak memakai baju parti sendiri ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam tadi menggesa jentera gabungan politik itu hanya memakai baju PH.
“Saya cadangkan supaya semasa berkempen kita tak pakai baju biru muda (PKR), tak pakai baju oren (Amanah), tak pakai baju putih (DAP), sebaliknya kita hanya pakai hanya baju merah.
“Bangkitkan Gelombang Merah. Kalau mereka (Barisan Nasional) nak bangkitkan Gelombang Biru (di Negeri Sembilan), kita bangkitkan Gelombang Merah,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Anthony Loke mendakwa Negeri Sembilan adalah kubu kuat PH dan beliau percaya rakyat Negeri Sembilan akan memberi kemenangan kepada PH.
“Malam ini kita mulakan bab baharu. Kita mulakan pusingan kedua. Pusingan pertama di Johor tak berjaya. Keputusan tak memihak kepada kita.
“Namun begitu tiada ruang dan masa untuk kita berdukacita. Tak ada masa untuk rasa tertewas. Negeri Sembilan adalah ‘homeground’ (kubu kuat) kita,” dakwanya lagi.
Selain itu, beliau mendakwa DAP sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, sistem raja berperlembagaan serta Rukun Negara termasuk kesetiaan kepada raja dan negara.
“Saya tak ada masalah terima kepimpinan Melayu, tapi kepimpinan Melayu yang bersih, yang cemerlang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau mendakwa lawan politik akan menggunakan sentimen perkauman dalam PRN Negeri Sembilan, tetapi PH mempunyai ‘poster boy’ iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Saya pengikut Aminuddin dan akan sokong beliau,” katanya. – MYNEWSHUB


