SEREMBAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM430.26 juta bagi melaksanakan 80 projek pembangunan utama di Negeri Sembilan sepanjang tempoh 2023 hingga 2026 yang melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kesejahteraan rakyat.
Daripada jumlah tersebut, RM119.6 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026, termasuk RM115.5 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan KPKT serta RM4.05 juta sebagai peruntukan tambahan untuk memperkukuh agenda pembangunan perbandaran negeri.
Peruntukan berkenaan diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sempena Lawatan Kerja Rasmi beliau ke Negeri Sembilan menerusi siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT 4.0.
Kor Ming berkata, komitmen Kerajaan Madani diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada rakyat termasuk pembangunan Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR), penyelenggaraan perumahan strata di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP)
Menurut beliau, peruntukan itu merangkumi usaha memperkukuh pengurusan sisa pepejal secara mampan, menaik taraf pasar, gerai dan dewan masyarakat, pembinaan balai bomba baharu, pembangunan Kampung Baru serta penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti setempat.
Sepanjang lawatan kerja, Kor Ming turut meninjau beberapa projek pembangunan di daerah Jempol, Jelebu dan Seremban, termasuk projek baik pulih Medan Niaga Bahau, Program Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR), pembinaan Rekreasi Madani, menaik taraf gerai Majlis Daerah Jelebu, penyelenggaraan 24 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), kerja mengecat Rumah Pangsa Lobak serta penggantian lif di Apartment Casa Prima. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial KPKT Malaysia


