JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat sendiri projek perumahan mampu milik di negeri ini.
Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa harga rumah di Johor mahal kerana kegagalan negeri menyediakan rumah mampu milik adalah tidak tepat dan perlu disemak berdasarkan fakta yang lengkap.
“PMX datang Johor nak cari salah. Saya dah tengok kenyataan Perdana Menteri yang kata harga rumah di Johor mahal sebab kerajaan negeri gagal sediakan lebih banyak rumah mampu milik. Kalau nak cakap pasal rumah di Johor biarlah dengan fakta yang betul,” katanya.
Mohd Jafni menjelaskan, sejak tahun 2022 sehingga suku pertama 2026, Johor telah berjaya menyiapkan serta menyerahkan kunci sebanyak 21,412 unit rumah mampu milik kepada rakyat.
Beliau berkata, harga rumah yang disediakan juga mengikut kemampuan pendapatan isi rumah antaranya serendah RM42,000 hingga RM50,000 bagi pendapatan RM4,000 ke bawah, RM100,000 bagi pendapatan RM6,000 ke bawah, RM150,000 bagi pendapatan RM8,000 ke bawah mengikut kemampuan.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan terdapat projek perumahan rakyat berskala besar di Johor iaitu perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor yang melibatkan 2,600 unit di kawasan Kota Iskandar.
Menurutnya, projek tersebut merangkumi rumah berharga sekitar RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 dengan keluasan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi, melibatkan konfigurasi tiga bilik dan dua bilik air.
Mohd Jafni turut menegaskan pembangunan rumah mampu milik tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut dilaksanakan di kawasan daerah seperti Mersing, Kota Tinggi dan Pontian.
Beliau berkata Johor dijangka menyiapkan tambahan 8,000 unit lagi rumah mampu milik menjelang suku keempat 2026, di samping unit yang telah siap dalam tempoh empat tahun sebelum ini.
“Janganlah gambarkan Johor tidak sediakan rumah mampu milik, itu tidak betul,” katanya sambil menambah bahawa rakyat yang sudah menerima kunci boleh menjadi saksi kepada usaha kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menjemput Perdana Menteri untuk datang sendiri ke Johor bagi meninjau projek perumahan yang sedang dan telah dilaksanakan di negeri ini. – MYNEWSHUB


