Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk memulakan pengeluaran roket buatan tempatan menjelang tahun 2028, sebelum memperluaskan keupayaan kepada pembuatan peluru berpandu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sasaran itu dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun menerusi kerjasama strategik antara syarikat tempatan, Weststar Group, dan syarikat Australia, Rocket Technologies International (RTI).
Menurut beliau, kerjasama tersebut selari dengan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara yang memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan industri pertahanan tempatan serta penguasaan teknologi strategik.
“Kerajaan mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya kerjasama antara Weststar Group dan RTI kerana ia sejajar dengan usaha membangunkan keupayaan domestik dalam pembangunan roket dan peluru berpandu,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan RTI ketika lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Australia.
Mohamed Khaled menjelaskan, pelaburan itu bukan sahaja akan membolehkan pemindahan teknologi dan pembangunan kemudahan pengeluaran di Malaysia, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan pertahanan global.
Katanya, langkah itu merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang mampu meningkatkan keupayaan pertahanan negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia ke arah mencapai tahap kemandirian dalam industri pertahanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Australia atas sokongan yang diberikan terhadap kerjasama dan pemindahan teknologi antara RTI dan Weststar, yang disifatkan sebagai pemangkin kepada pembangunan industri pertahanan tempatan. – MYNEWSHUB


