JOHOR BAHRU – Calon parti Bersama, Lau Yi Leong mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi menaik taraf pasar pagi Taman Johor Jaya sehari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Yi Leong mendakwa, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP malah memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) secara terbuka pada hari yang sama termasuk bahan publisiti, nama kerusi DUN serta nombor calon diedarkan.
“Tindakan-tindakan ini menimbulkan persoalan sama ada pembangunan telah ‘dibungkus’ menjadi propaganda kempen pilihan raya.
“Menurut Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mana-mana orang yang secara langsung atau tidak langsung memberi atau berjanji untuk memberi apa-apa wang atau balasan berharga bagi mendorong pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi, boleh terlibat dalam kesalahan rasuah pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Yi Leong seterusnya mendakwa, selepas hari penamaan pada 27 Jun, calon PH yang sama turut memuat naik kandungan berkaitan pengumuman peruntukan tersebut di media sosial dengan disertakan tanda pagar #JohorKeDepan dan #UndiHarapan.
“Saya ingin menegaskan satu perkara dengan jelas. Apa yang saya bantah bukanlah pembangunan, tetapi masa dan cara pengumuman peruntukan itu dibuat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, ramai yang menyokong BERSIH sebelum ini kerana berpegang kepada prinsip pilihan raya yang bersih dan adil.
“Peruntukan awam milik rakyat, bukan
milik mana-mana menteri dan bukan milik mana-mana parti politik. Wang rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat propaganda kempen mana-mana calon,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lau Yi Leong



