KUALA LUMPUR – Anggota Parti Bersama Malaysia (Bersama), Lau Yi Leong mempersoalkan hasil siasatan jawatankuasa khas yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) susulan kes kematian pelajar, Yap Shing Xuen tahun lalu.
Menurutnya, hampir setahun selepas jawatankuasa khas itu diumumkan, dua lagi kes kematian pelajar di sekolah dilaporkan, masing-masing di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Yong Peng, Johor.
“Mahkamah baru sahaja memutuskan kes Shing Xuen, seorang pelajar berumur 16 tahun yang dibunuh di dalam tandas SMK Bandar Utama Damansara (4)
“Kes itu baru selesai di mahkamah. Tapi dalam masa yang sama, dua lagi pelajar mati di sekolah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Yi Leong berkata, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas pada 14 Oktober 2025 bagi menyiasat kes Shing Xuen.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini rakyat masih belum mengetahui keanggotaan jawatankuasa berkenaan serta hasil siasatannya.
“Rakyat masih tak tahu siapa yang menganggotai ‘jawatankuasa khas’ itu dan apa yang ‘jawatankuasa khas’ itu jumpa. Ibu bapa dan guru perlu tahu apa yang salah dalam sistem sekolah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan berapa banyak lagi kejadian membabitkan kematian pelajar perlu berlaku sebelum hasil siasatan jawatankuasa berkenaan dikongsikan.
“Setiap hari ibu bapa hantar anak ke sekolah dan berdoa mereka pulang dengan selamat. Kalau setakat kongsi satu laporan pun menteri tak mampu, lebih baik menteri letak jawatan sahaja,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lau Yi Leong



