JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) hadir dengan janji-janji baharu untuk rakyat Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
Majlis Pengumuman Manifesto PH di Johor hari ini dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PH berkata, falsafah pembangunan baharu yang ingin dibawa PH adalah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil.
“Johor yang adil kepada semua, pembangunan ekonomi yang adil kepada semua. Bangunkan setiap lokaliti dan daerah,” katanya.
Manifesto PH yang diumumkan hari ini antara lain berjanji akan mewujudkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah kepada rakyat Johor.
Selain itu, PH berjanji dana RM500 juta akan disediakan untuk golongan muda Johor dan perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun untuk rakyat negeri ini.
PH juga berjanji setiap rakyat Johor akan menerima bantuan RM8,000 bagi rumah pertama dan internet gigabit khusus untuk semua sekolah di Johor.
Dalam pada itu, PH turut berjanji masa menunggu rentas sempadanan di Johor akan dikurangkan 50 peratus dan RM1 billion akan diberi sebagai dana usahawan Johor.
“Inilah ikhtiar PH untuk membawa perubahan yang benar-benar dirasai rakyat Johor,” kata pemimpin PH Johor yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. – MYNEWSHUB


