PONTIAN – Johor mencatatkan pertumbuhan ekonomi lapan peratus iaitu yang paling pesat di Malaysia kerana negeri ini ditadbir sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN) dengan mandat besar sejak tahun 2022.
Bekas Menteri Kerajaan Persekutuan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dengan mandat yang besar itu maka Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berupaya menentukan hala tuju Johor tanpa berdepan kekangan politik.
“Pertumbuhan ekonomi Johor lapan peratus lebih pesat daripada Selangor, Pulau Pinang dan seluruh Malaysia kenapa?.. Kerana kerajaan BN Johor tak payah tanya (pihak) yang ini, tak payah tanya (pihak) yang itu.
“Kalau tak (apabila) hendak buat keputusan susah sebab kena jaga hati perpaduanlah, madanilah apa benda. Kerajaan BN Johor boleh buat keputusan untuk rakyat dan jalan terus.
“Itu yang kita hendak untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sebab kita perlu kepada sebuah kerajaan (Johor) yang kuat,” katanya ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang dekat sini.
Justeru, Khairy Jamaluddin berkata, beliau memahami maksud sebenar Onn Hafiz tidak mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Johor kerana bukan kerana sombong.
Menurutnya, Onn Hafiz mengatakan beliau tidak mahu menubuhkan kerajaan yang terpaksa bergabung dengan parti lain kerana sukar untuk beliau membuat keputusan kelak.
“Orang kata dia sombong, tidak. Saya faham apa yang dimaksudkan itu. Dia mahu meneruskan bantuan kasih Johor. Dia mahu meneruskan jualan kasih Johor. Dia mahu meneruskan rumah Bangsa Johor.
“Dia mahu meneruskan semua bentuk bantuan yang dimulakan oleh BN Johor. Tetapi apa yang dia tidak mahu nanti adalah orang mengganggu beliau. MB (Menteri Besar) tidak boleh buat, kita tidak sokong. Kalau MB buat ini, kita akan tarik sokongan daripada kerajaan Johor.
“Sebab itulah MB minta jangan ada gabungan. Kita menangkan BN di negeri Johor. Mudah.. sangat mudah asasnya,” katanya. – MYNEWSHUB


