JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik didakwa tersilap apabila membuat ‘content’ untuk mengkritik keadaan jalan di Johor kerana laluan yang dilaluinya dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi berada di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.
Pelakon yang juga aktivis politik Barisan Nasional (BN), Shahrol Shiro berkata, video dimuat naik Maszlee memandu dari Kampung Melayu ke Ulu Tiram sambil mendakwa keadaan jalan seumpama “menaiki bot di Tanjung Surat” tidak boleh dijadikan alasan untuk menyalahkan pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Yang kelakarnya, jalan itu adalah jalan di bawah seliaan Persekutuan. Jadi itu jalan Pusat,” katanya dalam satu video di media sosial.
Shahrol turut berkata Maszlee sendiri mengakui penyelesaian terhadap masalah jalan tersebut memerlukan tempoh yang panjang dan bukannya boleh disiapkan dalam masa singkat.
Katanya, pengakuan itu secara tidak langsung menunjukkan usaha membaik pulih jalan berkenaan memerlukan proses tertentu dan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan serta-merta.
“Dr. Maszlee sendiri cakap nak selesaikan masalah itu bukan jangka masa yang pendek. Maksudnya memang ada proses yang panjang,” katanya.
Dalam masa sama, Shahrol turut mempersoalkan kenyataan Maszlee bahawa penyelesaian isu jalan itu memerlukan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
“Maksudnya, kalau kau tak undi PH jangan harap Persekutuan nak bantu Bangsa Johor? Kau orang yakin betul ye bila PRU-16 nanti kau orang masih berkuasa.
“Tapi apa pun, kita ni rakyat Johor. Budak-budak Johor ni tak mudah untuk dicoki-cokikan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber info/foto: Akaun media sosial Shahrol Azizie Azmi


