KUALA LUMPUR – Senator DAP, RA Lingeshwaran mendakwa politik berasaskan agama membutakan pertimbangan.
Beliau mempersoalkan adakah Johor mahu terus ke depan bersama Pakatan Harapan (PH) atau mengikuti model pentadbiran negeri seperti Kelantan.
Beliau mendakwa, Kelantan yang diterajui parti PAS terus berdepan cabaran ekonomi.
“PAS sendiri telah menggesa penyokongnya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. Jadi, rakyat Johor perlu bertanya.
“Jika PAS mengarahkan penyokongnya mengundi UMNO, siapakah yang akhirnya mendapat manfaat politik?
“Satu undi kepada UMNO hari ini ialah satu undi yang menguatkan pengaruh politik PAS,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Lingeshwaran bagaimanapun mengakui Johor adalah sebuah negeri yang maju, progresif dan menjadi pemacu ekonomi negara.
Beliau mendakwa konon di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada pembangunan Johor.
“Jangan biarkan politik berasaskan agama membutakan pertimbangan kita,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lingesh RA


