MUAR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan turun padang membantu calon dan jentera BN Johor di beberapa kawasan di Parlimen Muar semalam.
Mohamad yang mesra disapa Tok Mat memulakan program dengan menghadiri pertemuan bersama jentera parti di Tanjung Agas, DUN Serom sebelum memberikan semangat kepada petugas yang membantu calon BN N.11 DUN Serom, Saudari Iqa Rahim.
Beliau menegaskan DUN Serom perlu terus dipertahankan dan kemenangan yang dibina selama ini mesti dikekalkan menjelang hari pengundian pada 11 Julai.
Mohamad turut menyatakan keyakinan bahawa semangat tinggi Iqa Rahim selaku wakil tunggal Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang bertanding dalam PRN Johor mampu diterjemahkan kepada kemenangan.
Selepas itu, beliau menghadiri sesi minum petang bersama penduduk di DUN Maharani bagi memperkenalkan calon BN, Datuk Ashari Sarip.
Menurutnya, sambutan yang diberikan penduduk setempat amat menggalakkan.
Program tersebut turut dihadiri Datuk Seri Razali Ibrahim serta bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang hadir memberikan sokongan kepada calon BN.
Pada sebelah malam, Mohamad meneruskan jelajah ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Balang dan PDM Sungai Balang Barat untuk beramah mesra dengan jentera parti serta pengundi.
Beliau berkata, kehadiran ramai penyokong walaupun hujan sejak selepas waktu Maghrib membuktikan semangat tinggi jentera dan pengundi untuk memastikan kerusi DUN Sungai Balang kekal milik BN.
Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan terhadap calon BN, Cikgu Selamat, yang sekali lagi diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Balang pada PRN Johor kali ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan


