JOHOR BAHRU – Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) berpegang kepada satu matlamat demi Bangsa Johor iaitu memastikan Johor terus aman, stabil, maju dan makmur.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jentera BN mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi mereka berpegang pada matlamat yang sama.
“Insya-Allah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kesatuan yang kukuh serta sokongan padu rakyat, Gelombang Biru akan terus mara ke setiap pelosok negeri.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan dan mengurniakan kemenangan besar kepada BN Johor di kesemua 56 DUN pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Onn Hafiz melahirkan rasa syukur dengan semangat ditunjukkan oleh jentera, penyokong dan rakyat terhadap BN di kesemua 56 DUN.
Menurut beliau, ia membuktikan bahawa BN Johor telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri dengan penuh kesatuan dan kekuatan.
“Gelombang ini bukan sekadar lautan bendera biru, tetapi lambang kebangkitan sebuah perjuangan untuk mempertahankan kestabilan, meneruskan kemajuan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Inilah kekuatan Barisan Nasional Johor, seluruh kepimpinan, parti komponen dan akar umbi bergerak sebagai satu pasukan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


