SHAH ALAM – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau dan rakyat melahirkan rasa syukur LRT3 Laluan Shah Alam akhirnya telah pun dirasmikan.
Kata beliau, pelaksanaan projek itu bukan perjalanan yang mudah kerana merentasi pelbagai kerajaan, mengharungi zaman pandemik dan inflasi pasca-Covid.
“Pelbagai cabaran teknikal yang memerlukan ketabahan semua pihak yang mewarisinya khususnya dalam keadaan hutang negara yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Pelancaran LRT3 di sini semalam disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, walaupun dalam keadaan fiskal yang mencabar, Kerajaan Madani tetap komited memastikan projek itu diselesaikan.
Menurut beliau, ia bukan pilihan yang mudah, tetapi Kerajaan Madani percaya bahawa infrastruktur pengangkutan awam adalah pelaburan untuk rakyat, bukan beban.
“Itu yang menjadi pegangan kami dalam setiap keputusan yang dibuat. Ramai yang menyumbang dalam pelbagai kapasiti sepanjang perjalanan panjang ini. ‘You know who you are’
“Kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih. Kepada dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang yang telah lama menanti, jom naik LRT3 Laluan Shah Alam mulai 29 Jun secara percuma sehingga 31 Julai,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anthony Loke Siew Fook


