JOHOR BAHRU – Ruangan komen akaun media sosial milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tidak boleh diakses oleh pengguna media sosial.
Tinjauan Mynewshub mendapati pengguna media sosial tidak dapat meninggalkan komen terhadap dua hantaran terkini beliau di akaun Facebook DrPuad Zarkashi.
Terdahulu, Mohd. Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengumumkan beliau keluar UMNO kerana mendakwa parti itu tidak lagi bebas dalam membuat keputusan dalaman.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki namun mendedahkan Mohd. Puad bertindak keluar UMNO kerana anaknya tidak dapat menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit.
“Benar, anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu piliha raya,” katanya.
“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini.
“Untuk rekod, ini bukan kali pertama beliau mengugut untuk keluar parti apabila tidak memenuhi kehendak beliau.
“Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO juga beliau pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat,” dedah Asyraf Wajdi. – MYNEWSHUB


