KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong mendakwa golongan yang pernah menyuarakan Ketuanan Melayu sebenarnya mahu meneruskan pemerintahan kuku besi bagi melindungi perbuatan korup mereka.
Beliau mendakwa, golongan tersebut ketika itu melakukan pelbagai cara untuk mengaburi pandangan rakyat khususnya orang Melayu daripada menerima wawasan demokrasi yang lebih terbuka, progresif dan adil.
Chin Tong yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP namun mengingatkan kuasa rakyat terserlah apabila tatanan politik lama yang dibawa oleh UMNO akhirnya tersungkur pada Pilihan Raya Umum 2018.
Dakwa beliau, rakyat Malaysia ketika itu sudah tidak tahan lagi menanggung kesan, malah malu tahap global berikutan skandal mega 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, katanya, golongan tatanan politik lama yang menyuarakan Ketuanan Melayu masih cuba menghidupkan kembali idea lapuk mereka yang berteraskan pemerintahan autoritarian.
“Melalui propaganda mereka, golongan demokrat yang percaya kepada idea kepelbagaian kaum digambarkan sebagai pengkhianat,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Justeru, Chin Tong mendakwa Malaysia kini berada di persimpangan iaitu berhadapan dengan dua wawasan berbeza iaitu Malaysia sebagai negara autoritarian dan Malaysia sebuah negara demokratik.
Menurut beliau, rakyat Malaysia perlu membuat pilihan antara wawasan 1970 yang telah ditolak dan aspirasi 1998 yang mencetuskan harapan baharu dalam pilihan raya.
“Pilihan yang tepat dapat membawa Malaysia yang lebih matang berfikir, bersatu padu, dan berjaya membawa kemakmuran untuk semua dalam tahun-tahun mendatang ini.
“Kita perlu membuat pilihan, sama ada menerima yang baik atau yang buruk, dan jika kita gagal berbuat demikian, Malaysia yang kita cintai akan menjadi sebuah negara yang hodoh,” dakwanya.
Media pada tahun 2018 melaporkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjadi anggota Kabinet Kerajaan PH turut menegaskan bahawa zaman Ketuanan Melayu telah berakhir.
Berdasarkan video ucapan yang tersebar pada tahun tersebut, beliau yang kini pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ketika itu dipetik menegaskan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Liew Chin Tong


