KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima penyerahan rasmi sistem persenjataan FN MAG 58M 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M sebagai langkah memperkukuhkan keupayaan operasi Combat Search and Rescue (CSAR) dalam melaksanakan misi menyelamat di kawasan berisiko tinggi.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata, perolehan sistem persenjataan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan TUDM meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan aset udara selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).
“Helikopter EC 725 AP/H225M merupakan aset utama TUDM yang berkeupayaan melaksanakan pelbagai misi termasuk operasi CSAR, bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal dan operasi khas.
“Bagi memenuhi keperluan operasi CSAR yang memerlukan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, TUDM telah melaksanakan perolehan awal sistem persenjataan untuk dipasang pada helikopter EC 725 AP/H225M.
“Sistem ini akan meningkatkan tahap keselamatan anak kapal dan anggota yang terlibat dalam misi menyelamat, sekali gus membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut Mindef, kerajaan Malaysia menandatangani Letter of Acceptance (LOA) bersama syarikat pembuat senjata terkemuka dari Belgium, FN Herstal, bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm.
Jelas Mindef, senjata itu merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia.
Kata Mindef, sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, proses Final Acceptance Test (FAT) telah dijalankan bermula 30 Mac 2026 hingga 4 Jun 2026 melibatkan No. 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No. 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.
“Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan dan keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM,” kata kenyataan itu.- MYNEWSHUB


