KUALA LUMPUR – Akaun Tiktok ekyn.wong hari ini memuat naik kenyataan permohonan maaf oleh individu bernama Nur Asyiqin Mohd Dalil berikutan isu tular ketika bercuti di China pada 15 Jun lalu.
Menurut kenyataan itu, Nur Asyiqin memahami dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang telah menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
“Saya Nur Asyiqin binti Mohd Dalil dengan rendah serta seikhlas hati ingin memohon maaf atas isu yang tular iaitu kekhilafan reaksi spontan saya ketika bercuti di negara China pada 15 Jun 2026 yang lepas.
“Saya menghormati pandangan, teguran dan
perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat menyinggung, mengaibkan atau menimbulkan sebarang konflik kerana ketika itu hanyalah reaksi spontan yang bukanlah dirancang,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, Nur Asyiqin menerima dan mengambil maklum setiap teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka.
Kata kenyataan itu lagi, Nur Asyiqin menyesali perbuatannya dan menginsafi akan tindakan yang keterlaluan serta akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan lebih peka kepada sensitiviti masyarakat awam.
“Akhir kata, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya berjanji akan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab pada masa akan datang,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial TikTok ekyn.wong


