KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mengingatkan rakyat Malaysia sentiasa menitikberatkan kepentingan memelihara adab dan nilai menghormati dalam kehidupan bermasyarakat sama ada di dalam atau luar negara.
Laman media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu hantaran berkata, Seri Paduka Baginda bertitah budaya saling menghormati merupakan antara asas keharmonian yang sentiasa menjadi pegangan rakyat Malaysia, sekali gus menyumbang kepada perpaduan serta kesejahteraan negara.
“Mengimbas kembali, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menyantuni serta
beramah mesra bersama lebih 100 pelancong dari pelbagai negara di pintu masuk utama Istana Negara pada Februari lalu.
“Ini mencerminkan sifat mesra serta keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat dan pelancong yang berkunjung ke negara ini,” kata hantaran tersebut hari ini.
Menurut hantaran tersebut, Raja Permaisuri Agong turut mengingatkan khususnya kepada umat Islam dalam negara terhadap petikan hadis riwayat Al-Bukhari, seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


