JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan meneruskan program meraikan para peneroka FELDA di negeri ini walaupun FELDA membatalkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang sepatutnya berlangsung pada 20 hingga 21 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, ia termasuk penyerahan hak milik kepada 210 peneroka FELDA Johor yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Kerajaan Johor sedang berikhtiar untuk meneruskan majlis penyerahan hak milik kepada 210 orang peneroka ini yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menyampaikan sendiri dan mungkin program ini tidak sebesar sambutan Hari Peneroka, tetapi ia tetap juga dijalankan untuk menyampaikan amanah kami.
“Tarikh, masa dan tempat akan kita maklumkan dalam masa terdekat. Apapun terima kasih kepada warga FELDA atas kesabaran dan kepercayaan anda semua pada kerajaan Johor,” katanya menerusi satu rakaman video.
Terdahulu, beliau mengulangi penjelasan bahawa kerajaan Johor hanya dimaklumkan tentang penangguhan sambutan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 melalui surat bertarikh 16 Jun daripada FELDA kepada kerajaan negeri.
Justeru, beliau menafikan sekeras-kerasnya tohmahan yang mendakwa kononnya penangguhan sambutan tersebut adalah daripada kerajaan Johor.
“Takkanlah kerajaan negeri nak batalkan dan saya nak menyatakan kepada warga FELDA bahawa kerajaan Johor sentiasa berdiri teguh bersama anda semua.
“Antara pengisian yang sepatutnya diisi dalam sambutan ini ialah pengiktirafan kepada warga FELDA dan penyampaian 210 hak milik kepada warga FELDA,” katanya.
Media pada Januari lalu melaporkan, FELDA akan terus berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ahmad Maslan diberi tanggungjawab mengelola serta memantau urusan FELDA. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahari Sarip


