JOHOR BAHRU – Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Johor tampil mempersoalkan siapakah pihak yang mengarahkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 pada 20 hingga 21 Jun ini dibatalkan.
Antara yang membangkitkan persoalan itu ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Abd Manap menerusi satu hantaran di akaun media sosial beliau semalam.
Beliau dalam hantaran sama mencadangkan supaya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tetap meneruskan sambutan tersebut melalui Sekretariat Muafakat FELDA Johor.
“Kenapa perlu dibatalkan tatkala segala persiapan sudah 90 peratus tersedia. Terasa kasihan emak ayah kami yang nak sambut kehadiran ramai peneroka dan penerokawati hujung minggu ini di FELDA Ulu Belitung.
“Kenapa dibatalkan secara tiba tiba tanpa jawapan munasabah? Apa kata kita guna Sekretariat Muafakat FELDA Johor yang uruskan sambutan ini YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kita teruskan. Kitakan Bangsa Johor. Johor tetap dengan cara Johor, Ini FELDA kita,” katanya.
Penyandang kerusi DUN Johor Lama, Norlizah Noh turut membangkitkan persoalan sama dengan menegaskan pihak yang membatalkan sambutan tersebut perlu memberi penjelasan.
Menurut beliau, dalam atur cara Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang diedarkan sebelum ini turut melibatkan penyampaian hak milik peneroka dan lot generasi.
“Kenapa tangguh? Siapa yang arah tangguh? dan bila pula akan disempurnakan. Ramai peneroka dan generasi telah dimaklumkan lebih awal berbulan yang lepas.
“Ada yang sudah berkongsi khabar gembira dengan keluarga, ada yang menunggu penuh harapan untuk menerima hak milik yang sekian lama dinantikan.
“Hak milik ini bukan hadiah. Ini hak yang ditunggu bertahun-tahun. Kepada pihak berkenaan, sila jawab dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Mynewshub melaporkan kerajaan Johor memaklumkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong tidak dapat diteruskan selepas pihak FELDA Johor diarahkan untuk membatalkan penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip dipetik berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai arahan tersebut walaupun program berkenaan hanya berbaki empat hari sebelum tarikh penganjuran.
Meskipun keputusan pembatalan itu bukan dibuat oleh kerajaan negeri, pihaknya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan.
“Walaupun penangguhan ini bukan dari pihak kami, namun atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf atas penangguhan di saat akhir ini,” katanya.
Media pada Januari lalu melaporkan, FELDA akan terus berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ahmad Maslan diberi tanggungjawab mengelola serta memantau urusan FELDA. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anuar Abd Manap/Norliza Noh


