KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim siapa sebenarnya yang sombong dan bongkak.
Menurut beliau, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdepan pelbagai kritikan dan serangan peribadi termasuk dilabel sebagai ‘budak-budak’, dituduh rasis, pengkhianat serta tidak mengenang budi.
Kata beliau, terdapat pemimpin Kerajaan Persekutuan malah sehingga memperlekehkan saiz fizikal Menteri Besar Johor itu.
“Tapi saya nak tanya, ada tak Onn Hafiz balas dengan caci makian? Jawapannya, tak ada langsung. Apa yang Onn Hafiz buat? Onn Hafiz hanya bercakap tentang prinsip.
“Prinsip Onn Hafiz sebagai pemimpin UMNO yang mendengar suara akar umbi yang menyatakan bahawa UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Jadi, adakah itu salah? Mempertahankan prinsip, adakah itu salah? Adakah kerana mempertahankan prinsip, Onn Hafiz dicaci, dikeji dan diperlekehkan sedemikian rupa?,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Muhamad Akmal berkata, walaupun mempunyai ruang menyerang balas, Onn Hafiz memilih untuk terus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Johor dan berkhidmat kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat menilai sendiri sikap dan tindakan pemimpin yang bertanding menjelang PRN Johor, sambil mendakwa kempen berasaskan label, penghinaan dan serangan peribadi tidak akan membawa manfaat kepada rakyat.
“Onn Hafiz boleh cakap bahawa Perdana Menteri dan seluruh PH adalah pembohong. Sebab apa? Semua manifesto seperti mahu menghapuskan PTPTN dan tol tidak dilaksanakan.
“Jadi, bolehlah Onn Hafiz menggelar PH sebagai pembohong. Tetapi, ada tak Onn Hafiz buat begitu? Jawapannya, langsung tidak. Sebab apa? Sebab Onn Hafiz mahu membangunkan Negeri Johor, berkhidmat untuk rakyat Johor dan membina politik yang baik, bukan merendahkan orang lain.
“Jadi, kepada yang menghormati Perdana Menteri, siapa sebenarnya yang sombong? Kepada PH dan semua pimpinannya, kalau kamu mahu berkempen dengan cara melabel orang, mencaci orang dan menghina orang, silakan.
“Kepada seluruh rakyat Johor dan seluruh rakyat Malaysia, kita boleh lihat siapa sebenarnya yang sombong, siapa sebenarnya yang bongkak dan anda akan menentukannya di kertas undi nanti,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


