JOHOR BAHRU – DAP kesal dengan tindakan pihak yang mengubah poster gambar bakal calon wanita parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan memakai tudung.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, perbuatan tersebut bertujuan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina daripada mengundi Pakatan Harapan (PH)
“Jangan terpengaruh dengan taktik kotor. Dan jangan sebar pembohongan. Ada pihak sengaja mengubah poster bakal-bakal calon DAP Johor dengan menjadikan gambar mereka menjadi seperti wanita Muslim bertudung dalam keadaan yang salah.
“Niatnya bertujuan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina daripada mengundi PH. DAP memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia, tanpa mengira latar belakang, wilayah, agama atau gender,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, percubaan pihak lawan untuk memburukkan DAP dengan cara itu bukan sahaja mencerminkan niat jahat mereka tetapi juga sikap benci wanita.
Kata beliau, DAP menghormati semua agama, faham dan sedar bahawa tudung sebagai sebahagian daripada pakaian muslimah tidak boleh dipermainkan.
“Taktik kotor mengubah gambar poster ini adalah perbuatan keji yang perlu ditolak. Semoga pengundi semua kaum menolak perbuatan ini. Sama-sama kita memilih keharmonian, perpaduan dan keamanan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Teo Nie Ching


