KUALA LUMPUR – Sebanyak 56,304 kandungan palsu dalam talian telah diturunkan daripada platform media sosial hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober 2026.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu mewakili 86 peratus daripada keseluruhan 65,680 permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan MCMC kepada penyedia platform.
Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 546 kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebanyak 19 kes telah didakwa di mahkamah. Daripada jumlah ini, 12 kes telah diputuskan dengan jumlah denda RM75,500,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 34 kes pula dikenakan tindakan kompaun membabitkan jumlah keseluruhan RM1.72 juta, manakala 74 kes diberikan surat amaran.
Selain itu, sebanyak 29 kes masih dalam siasatan, sementara 390 kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Nie Ching berkata, statistik berkenaan dibentangkan ketika beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Rakyat hari ini berhubung tindakan kerajaan menangani penyebaran kandungan palsu dalam talian.
Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh usaha membendung penyebaran berita palsu bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat dan bertanggungjawab.
“Tidak pasti, jangan kongsi!” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Teo Nie Ching


