JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memahami perasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sukar menerima keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun, Onn Hafiz mengingatkan Perdana Menteri bahawa keputusan BN Johor untuk bertanding di semua kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak sepatutnya dijadikan tohmahan kononnya beliau seorang yang sombong.
“Keputusan BN Johor bertanding di semua 56 kerusi DUN adalah satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh YAB Perdana Menteri. Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip serta mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?
“Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan. Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada institusi diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata beliau mengambil maklum pandangan Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau bagaimanapun mengingatkan Perdana Menteri bahawa pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Sultan Johor.
Onn Hafiz turut mengingatkan bahawa dalam banyak perkara, kerajaan Johor membantu melengkapi usaha kementerian-kementerian Persekutuan demi kepentingan rakyat negeri itu.
Menurut beliau, setiap tahun kerajaan negeri membantu bilik guru dan sekolah walaupun urusan pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
Tambahnya, setiap tahun kerajaan Johor turut membantu CIQ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta kem tentera walaupun perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
Jelas beliau, kerajaan negeri juga membantu hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.
Malah, katanya, apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, malah turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.
“Kami berbuat demikian kerana bagi kerajaan negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat.
“Bukan niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Namun, saya dengan rendah hati ingin bertanya, dalam perkara apakah kerajaan Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun media sosial Onn Hafiz Ghazi


