JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor,
Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap delegasi dari Universiti Harvard hari ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Penolong Pengarah, Pengajian Prasiswazah, Pensyarah Biologi Molekul dan Sel universiti berkenaan, Dr. Dominic Mao.
Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Penolong Dekan Kolej Harvard, Pensyarah Antropologi, Dr. Andrea Wright.
Menurut laman media sosial HRH Crown Prince of Johor, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Universiti Harvard merupakan universiti tertua di Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1636 di Cambridge.
Institusi itu terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan kepimpinan global.
Universiti Harvard memiliki antara perpustakaan akademik terbesar di dunia dengan jutaan koleksi buku, manuskrip dan bahan penyelidikan.
Ia juga dikenali kerana melahirkan ramai tokoh berpengaruh dunia termasuk pemegang hadiah nobel, saintis dan pemimpin korporat.
Jaringan alumni yang luas turut menjadikan universiti itu antara institusi pendidikan tinggi paling berpengaruh. – MYNEWSHUB


