Oleh Mynewshub
RENCANA — Pelik sungguh perangai sesetengah orang.
Yang diperjuangkan ialah kepentingan Johor, yang hendak dibangunkan ialah Johor, yang dipohon segalanya berkaitan Johor, tapi ada pihak tertentu dari luar yang terlebih panas seolah-olah halaman rumah mereka pula hendak dikorek.
Apabila Pemangku Sultan Johor menyuarakan keperluan negeri baginda, ada sahaja yang mencari alasan untuk menyindir.
Apabila kepentingan Johor diletakkan sebagai keutamaan, terus ada yang tidak senang duduk.
Jadi, apa sebenarnya masalah kauorang?
Dalam poster perkongsian semula titah yang dipaparkan, mesej baginda cukup jelas: kebencian orang lain tidak akan mengubah kasih baginda terhadap Johor dan Bangsa Johor.
Mudah hendak difahami.
Tetapi bagi orang yang sudah memasang niat mahu membenci, ayat paling terang pun boleh kelihatan gelap.
Kalau baginda meminta perhatian kerajaan pusat terhadap keperluan Johor umpamanya, apa yang begitu menyakitkan hati pihak tertentu?
Bukankah keperluan sesebuah negeri memang wajar disuarakan? Atau Johor mesti duduk diam tanpa bersuara, barulah dianggap menyenangkan semua orang?
Lucunya, pemimpin yang diam dituduh tidak peduli. Apabila bersuara, dituduh macam-macam pula.
Rupanya ada orang bukan mencari penyelesaian. Mereka cuma mencari kesalahan.
Bagi rakyat Johor yang menghargai ketegasan baginda, sebabnya tidak sukar difahami: mereka mahu kepentingan negeri mereka dibela. Mereka mahu ada suara yang berani membawa keperluan Johor ke hadapan.
Yang berada di luar Johor tetapi begitu rajin memeriksa setiap gerak baginda pula, elok bertanya kepada diri sendiri: adakah bantahan itu berpunca daripada perkara yang benar-benar salah, atau sekadar tidak tahan melihat Johor mahu bergerak maju?
Kritikan berasas boleh dibahaskan.
Kalau tidak bersetuju dengan sesuatu cadangan, bentangkan alasan. Tunjukkan kelemahannya. Cadangkan jalan yang lebih baik.
Tetapi kalau modalnya cuma sindiran, ejekan dan rasa tidak senang setiap kali nama Johor disebut, jangan terlalu cepat mengangkat diri sebagai pengkritik paling bijaksana.
Kadang-kadang yang panjang itu cuma komen. Isinya belum tentu ada.
Menyayangi negeri sendiri tidak memerlukan kebenaran daripada ruangan komen.
Memperjuangkan Johor juga tidak perlu menunggu semua pembenci bertepuk tangan.
Kalau usaha itu membawa manfaat, rakyat yang menerima manfaatlah yang akan menilainya.
Pembenci boleh terus sibuk mencari cela, tetapi rasa tidak puas hati mereka bukan ukuran kejayaan sesebuah negeri.
Johor mahu maju. Tuanku mahu kepentingan Johor diberi perhatian.
Yang lain pula, kenapa sampai hilang ketenangan?
Kalau ada hujah, silakan. Kalau cuma cemburu, jangan dibungkus seolah-olah itulah pandangan paling bermutu.
Selama ini apa sahaja yang Tuanku buat atau perjuangkan, semuanya semata-mata untuk negeri dan rakyat baginda….bukan untuk faedah diri….haters sakit bontot kenapa? – 


