KUCHING – Kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kempen pilihan raya di Johor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS)
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah malah menegaskan kehadiran King Sing dalam majlis kempen tersebut adalah atas kapasiti peribadinya sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa GPS hanya mengetahui mengenai kehadiran King Sing dalam majlis kempen di Johor selepas dimaklumkan mengenai laporan sebuah portal berita tempatan.
“Kehadiran beliau (King Sing) tiada kaitan langsung atau tidak langsung dengan GPS. GPS kekal konsisten dengan pendirian politik untuk tidak mencampuri urusan pilihan raya di mana-mana negeri lain.
“Sebarang spekulasi yang mengaitkan GPS dengan aktiviti kempen politik berkenaan adalah tidak benar sama sekali,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
King Sing menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Majlis Ramah Mesra Masyarakat Cina Bukit Bakri malam tadi.
King Sing turut memaklumkan beliau sempat bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat Cina di Bukit Naning, Bakri, di sebuah restoran tempatan petang semalam..
Dalam hantaran berasingan, King Sing berkata beliau mengiringi Perdana Menteri dalam sesi pertemuan bersama masyarakat di Johor yang menjadi platform penting untuk mendengar pandangan rakyat serta berkongsi perkembangan semasa berkaitan agenda pembangunan negara.
“Dalam ucapan saya, saya menegaskan bahawa proses transformasi dan pembaharuan negara bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata. Ia memerlukan masa, kesabaran serta sokongan berterusan daripada rakyat.
“Justeru, adalah penting untuk kita terus memberikan ruang dan sokongan kepada beliau (Anwar) agar agenda reformasi yang telah dimulakan dapat diteruskan demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya. — MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial YB Karim Hamzah/Dato’ Seri Tiong King Sing


