KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Bangsa Johor mempertahankan politik harapan yang menyatukan serta mencambah kasih sayang.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat Johor menolak politik lama yang sarat dengan kebencian dan salahguna kuasa.
“Perjuangan kita tidak pernah semata soal memenangi pilihan raya, malah ia adalah medan penentu apakah Malaysia akan terus dipacu politik lama yang sarat dengan kebencian dan salahguna kuasa.
“Atau bergerak ke depan sebagai tatanan yang berpaksi pada prinsip pertanggungjawaban, keadilan dan ihsan kepada rakyat terbanyak,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Anwar mendakwa PH telah membuktikan bahawa apa yang didambakan itu tidak sekadar slogan, sebaliknya tatakelola diperketat, ketirisan diperangi, pelaburan dipertingkat dan keyakinan dunia terhadap Malaysia memulih.
Bagaimanapun, dakwa beliau, perjuangan itu masih panjang dan jauh dari sempurna kerana masih banyak yang perlu diperbetulkan.
“Masih ramai rakyat yang perlu dibela dan disantuni, masih banyak suara yang perlu didengar, masih melata lompong-lompong sistem yang perlu ditutup serta serba serbi permasalahan lain yang perlu diberi tumpuan dan diharungi bersama.
“Dengan dukungan rakyat, kita akan terus bekerja dengan lebih gigih mengangkat martabat negara dan memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang kuat, saksama dan bermaruah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


