IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mempergiat tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta menjamin keselamatan pengguna di negeri ini.
Dalam operasi yang dijalankan Unit Operasi JPJ Ipoh, sebuah motosikal yang ditunggang seorang warga asing berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

Hasil pemeriksaan mendapati penunggang terbabit melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL), lesen kenderaan motor telah tamat tempoh selain gagal menyediakan perlindungan insurans yang sah.
Susulan pelbagai pelanggaran tersebut, motosikal berkenaan disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Ipoh untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, operasi bersepadu turut dilaksanakan di sekitar Pekan Gurney, Sitiawan melibatkan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Perak bersama agensi berkaitan.
Melalui kaedah penyamaran yang digunakan anggota penguat kuasa, sebuah motosikal dan dua motolori yang dipandu warga asing berjaya dikesan sebelum disita.
Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu terlibat melakukan pelbagai kesalahan antaranya memandu tanpa lesen, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta beberapa pelanggaran teknikal lain.
Kesemua kenderaan yang terlibat dibawa ke Depoh Sita JPJ Seri Manjung bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Lumut turut menahan 13 warga asing yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen melibatkan tiga lelaki warga Indonesia dan 10 lelaki warga Bangladesh.
JPJ Perak menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di seluruh negeri bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan tanpa sebarang pengecualian.
Orang ramai turut disaran menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik melalui saluran rasmi JPJ bagi membantu memperkukuhkan usaha penguatkuasaan.



