KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta melihat semula pengiktirafan kepada Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST)
Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya mendakwa, beliau tidak nampak badan tersebut memudahkan perpaduan kaum dan agama, sebaliknya makin merumitkan.
“Terbaharu, mereka pertikaikan keputusan kerajaan Selangor untuk meletakkan had kepada 5,000 penduduk atau 1,250 rumah maka baru boleh wujud pusat ibadah mereka.
“Sebaliknya mereka mahu had itu diturunkan kepada 1,500 penduduk atau 374 rumah dan keluasan minimum 0.6 hektar (1.5 ekar),” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Aminuddin berkata, banyak lagi yang MCCBCHST persoalkan termasuk ketinggian bangunan rumah ibadah mereka yang tidak boleh lebih tinggi dari masjid.
Dakwa beliau, keadaan itu seolah-olah memperlihatkan umat islam sudah tidak lagi bebas menentukan masa depan negara, tetapi terpaksa menunggu keputusan orang lain.
“Andaikata kerajaan lemah dan perkara ini mereka bawa ke mahkamah, maka tidak mustahil mereka akan menang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Aminuddin Yahaya


